Sumber
Kumpulan Kerja Hak Asasi Manusia BERSAMA
Tarikh asal
2026-09-21
Platform
Facebook
Tokoh
Wong Chen, Ng Yap Hwa, Faizal Rahman, Lau Yi Leong, Jhen Pei Seah, Rabiatul Adawiyah Sulaiman, Wong Ivan

Kenyataan media Kumpulan Kerja Hak Asasi Manusia BERSAMA bertarikh 21 September 2026. Teks penuh daripada dokumen asal dua halaman disiarkan di bawah.

Ringkasan

Kumpulan Kerja Hak Asasi Manusia BERSAMA menggesa siasatan telus dan bebas, penggantungan notis pengusiran serta percepatan pewartaan tanah adat Orang Asli di Tasik Bera, Pahang.

Perkara Utama

  • Siasatan telus dan bebas bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab atas penerokaan haram secara besar-besaran.
  • Gantung dan kaji semula notis pengusiran sementara menunggu hasil siasatan.
  • Dedahkan status pewartaan semasa dan segerakan pewartaan penempatan serta wilayah adat yang terjejas.
  • Lindungi alam sekitar serta hak tanah adat, kediaman dan mata pencarian Orang Asli.

Kenyataan

Kumpulan Kerja Hak Asasi Manusia Parti BERSAMA Malaysia menyuarakan kebimbangan berhubung dengan perobohan sekatan jalan Orang Asli dan penahanan lima Orang Asli, termasuk empat wanita, berkaitan dengan usaha komuniti tersebut untuk mempertahankan kediaman dan tanah adat mereka di Tasik Bera, Pahang.

Penduduk Komuniti Orang Asli telah menerima notis pengusiran daripada Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) pada 25 Jun 2026. Pihak berkuasa mendakwa bahawa pihak luar atau sindiket haram mungkin telah mengeksploitasi atau memanipulasi nama komuniti Orang Asli untuk menjalankan penerokaan tanah secara besar-besaran di Hutan Simpan Kekal Tasik Bera. Komuniti Orang Asli di kawasan tersebut sememangnya mempunyai kebun kecil getah dan kelapa sawit yang menjadi sebahagian daripada sumber mata pencarian mereka, namun itu tidak sepatutnya disamakan dengan penerokaan tanah komersial secara besar-besaran.

Oleh itu, BERSAMA menggesa pihak berkuasa Negeri Pahang untuk menjalankan siasatan yang telus dan bebas bagi mengenal pasti pihak sebenar yang bertanggungjawab atas sebarang penerokaan haram secara besar-besaran di dalam hutan simpan berkenaan. Pihak berkuasa hendaklah memastikan bahawa komuniti Orang Asli tidak dipersalahkan secara tidak adil atas aktiviti yang mungkin dijalankan oleh pihak luar.

Sementara menunggu hasil siasatan yang telus, notis pengusiran yang menjejaskan komuniti tersebut hendaklah digantung dan dikaji semula.

Komuniti Semelai telah menetap di kawasan Tasik Bera sejak turun-temurun, dengan sesetengah rekod mencatatkan kehadiran mereka sejak lebih daripada satu abad. Keberadaan dan kebergantungan mereka yang berterusan terhadap tanah serta hutan sekeliling mestilah diambil kira dalam sebarang keputusan yang melibatkan kediaman, mata pencarian, dan wilayah adat mereka.

Status dan perlindungan undang-undang terhadap penempatan serta wilayah adat Orang Asli di sekitar Tasik Bera juga memerlukan penjelasan dan ketelusan yang lebih tinggi. Kami menyeru kerajaan Negeri Pahang dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk mendedahkan status pewartaan semasa bagi setiap penempatan dan wilayah adat yang terjejas, serta segerakan proses pewartaan demi melindungi hak tanah komuniti berkenaan.

Adalah penting bagi kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri untuk memelihara prinsip-prinsip Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Penduduk Asal (UNDRIP), yang telah disokong oleh Malaysia pada tahun 2007. Perkara 26(1) dan (2) mengiktiraf hak orang asal terhadap tanah, wilayah, dan sumber yang secara tradisinya dimiliki, diduduki, digunakan, atau diperoleh oleh mereka, termasuk hak untuk memiliki, mengguna, membangun, dan mengawal tanah, wilayah, serta sumber berkenaan.

BERSAMA menegaskan bahawa kami komited terhadap perlindungan dan pemeliharaan alam sekitar serta hutan simpan. Pada masa yang sama, kehidupan, mata pencarian, budaya, dan identiti Orang Asli tidak dapat dipisahkan daripada hutan dan wilayah tradisi mereka sejak bergenerasi lamanya. Perlindungan hutan dan perlindungan hak penduduk asal tidak sepatutnya dianggap sebagai dua matlamat yang saling bertentangan.

Komuniti Orang Asli di Tasik Bera berhak mendapat penyelesaian yang adil dan saksama. Kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri mestilah berusaha untuk mencari penyelesaian yang seimbang dan harmoni, yang bukan sahaja melindungi alam sekitar tetapi turut menghormati hak tanah adat, kediaman, dan mata pencarian Orang Asli.

21 September 2026

Bagi pihak Kumpulan Kerja Hak Asasi Manusia BERSAMA

WONG CHEN Ketua Kumpulan Kerja Hak Asasi Manusia BERSAMA

NG YAP HWA

FAIZAL RAHMAN

LAU YI LEONG

SEAH JHEN PEI

RABIATUL ADAWIYAH SULAIMAN

WONG IVAN

SUMBER ASAL

Kumpulan Kerja Hak Asasi Manusia BERSAMA

Facebook · 2026-09-21

Lihat Kenyataan Asal

Rujukan dan Sumber

Dokumen kenyataan asal — halaman 1

Dokumen kenyataan asal — halaman 2