Kenyataan media Nik Nazmi Nik Ahmad bagi pihak BERSAMA bertarikh 7 Oktober 2026. Teks penuh daripada dokumen asal empat halaman disiarkan di bawah.
Ringkasan
Nik Nazmi Nik Ahmad, bagi pihak BERSAMA, menyeru jaminan keselamatan pelajar, ketelusan dan pertanggungjawaban KPM susulan kes Irene Sofiya, termasuk pembetulan kelemahan sistem keselamatan serta infrastruktur sekolah.
Perkara Utama
- Nik Nazmi menyeru KPM memberi jaminan keselamatan pelajar serta menjawab kebimbangan ibu bapa dengan ketelusan dan pertanggungjawaban.
- Beliau mempersoalkan pelaksanaan langkah keselamatan, liputan CCTV dan semakan rekod rondaan dalam kes Irene Sofiya.
- Keselamatan sekolah perlu merangkumi pencegahan buli dan keganasan, di samping infrastruktur, persekitaran dan kemudahan yang selamat.
- Beliau meminta pembetulan kelemahan dalam bidang kuasa KPM sambil menghormati siasatan PDRM serta proses undang-undang.
- Kenyataan turut menyampaikan takziah kepada keluarga Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal.
Kenyataan
Tiada siapa mempertikaikan bahawa dalam kes yang melibatkan kematian seorang anak dan murid-murid bawah umur seperti kes Allahyarham Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, proses undang-undang memang mesti dihormati.
Namun, selepas mendengar kenyataan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, saya rasa ada beberapa perkara asas yang masih belum terjawab.
Setakat Januari hingga Ogos 2026, sebanyak 5,681 kes buli telah dilaporkan berlaku di sekolah. Namun, angka ini berkemungkinan jauh lebih tinggi sekiranya mengambil kira kes-kes yang tidak dilaporkan atau disembunyikan atas faktor tertentu termasuk kebimbangan terhadap imej dan reputasi sekolah.
Isu buli dan keganasan di sekolah sememangnya perlu diberikan perhatian serius oleh KPM. Namun, aspek keselamatan pelajar secara menyeluruh juga tidak boleh dipandang ringan. Ini termasuk soal keselamatan infrastruktur, persekitaran dan kemudahan sekolah yang perlu dipastikan berada dalam keadaan baik, selamat dan tidak mengancam nyawa pelajar.
Rakyat tidak mahu lagi disajikan dengan berita kematian pelajar yang berlaku bukan sahaja akibat kes buli dan keganasan tetapi juga disebabkan oleh kelemahan infrastruktur serta persekitaran sekolah yang tidak selamat. Kejadian seperti pelajar terjatuh dari bangunan sekolah sehingga mengorbankan nyawa seharusnya menjadi peringatan bahawa aspek keselamatan di sekolah tidak boleh dipandang ringan.
Rakyat hari ini tidak hanya memerlukan penjelasan daripada Kementerian Pendidikan. Mereka memerlukan keyakinan dan jaminan bahawa anak-anak mereka benar-benar selamat di sekolah.
Malangnya, sebahagian besar kenyataan Menteri lebih bersifat defensif dan mempertahankan apa yang telah dilakukan oleh KPM berbanding meyakinkan ibu bapa bahawa kelemahan yang mungkin wujud akan diperbetulkan.
Menteri berulang kali menyebut bahawa 11 langkah keselamatan telah diumumkan sejak Oktober tahun lalu. Beliau menyenaraikan jumlah CCTV, jumlah kaunselor, pembantu warden, latihan guru, dan pelbagai lagi inisiatif yang telah dilaksanakan.
Tetapi persoalan rakyat bukan berapa banyak langkah yang telah diumumkan.
Persoalannya ialah, mengapa insiden ini berlaku dan sejauhmana langkah-langkah yang diumumkan dilaksanakan di sekolah?
Dalam kes Irene Sofiya, Menteri mengesahkan sekolah berkenaan mempunyai CCTV, tetapi CCTV tersebut tidak meliputi lokasi kejadian.
Menteri juga memaklumkan bahawa rekod rondaan dan pelaksanaan tugas syarikat keselamatan pada hari kejadian masih sedang disemak.
Ini bermakna pada ketika sidang media tersebut diadakan, KPM sendiri masih belum dapat memberikan gambaran penuh sama ada sistem keselamatan yang sepatutnya melindungi murid pada hari kejadian benar-benar berfungsi.
Dalam keadaan sebegini, saya fikir respons yang paling diperlukan daripada seorang Menteri ialah jaminan, ketelusan dan pertanggungjawaban.
Jangan sampai penekanan terhadap “spekulasi” dan “maklumat tidak benar” mengaburkan persoalan yang sah dan wajar ditanya kepada KPM.
Begitu juga apabila Menteri mengatakan kes-kes terdahulu tidak “senyap” hanya kerana tidak lagi menjadi tajuk berita. Baik. Maka rakyat berhak mengetahui apa yang telah berlaku kepada kes-kes tersebut.
Jika KPM mempunyai rekod yang menunjukkan bahawa tindakan telah diambil, tampilkan dan jelaskan kepada rakyat. Jangan hanya meminta rakyat mempercayai bahawa semuanya sedang berjalan.
Saya juga ingin menegaskan bahawa apabila seorang anak berada di sekolah, tanggungjawab keselamatan tidak boleh dikaburkan dengan mengatakan bahawa sekolah dan keluarga mesti bergerak bersama.
Sudah tentu keluarga mempunyai tanggungjawab dalam membentuk nilai dan disiplin anak.
Tetapi ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah dengan satu kepercayaan asas: kerajaan dan institusi sekolah akan memastikan mereka pulang dengan selamat.
Itulah amanah KPM.
Justeru, apabila berlaku tragedi seperti ini, Menteri Pendidikan tidak seharusnya hanya menjelaskan apa yang KPM sudah lakukan. Beliau juga perlu berani menjawab apa yang KPM gagal lakukan, apa yang terlepas, dan apa yang akan diperbaiki.
Ini bukan soal mendahului siasatan PDRM atau meminta sesiapa dihukum sebelum proses undang-undang selesai.
Tetapi saya meminta Menteri Pendidikan mendahului pembetulan terhadap kelemahan dalam bidang kuasa kementeriannya sendiri.
Dan jika sistem sedia ada tidak mencukupi, katakan dengan terus terang dan perbaikinya.
Rakyat mahu tahu bahawa apabila mereka menghantar anak ke sekolah pagi ini, anak mereka benar-benar berada dalam sistem yang lebih selamat daripada semalam.
Kematian Irene Sofiya tidak boleh menjadi satu lagi tragedi yang hanya menghasilkan pengumuman baharu selepas perhatian awam reda.
KPM juga mesti bersedia untuk disiasat oleh rakyat dari sudut tanggungjawabnya sendiri.
Jangan hanya pertahankan apa yang telah dilakukan. Yakinkan rakyat bahawa apa yang perlu dilakukan selepas ini benar-benar akan dilakukan.
Kebenaran mesti dirungkai. Keadilan mesti ditegakkan. Dan keselamatan anak-anak di sekolah mesti menjadi amanah yang boleh diukur dan dipertanggungjawabkan.
Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarharm Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman. Saya mendoakan kekuatan dan ketabahan kepada seluruh ahli keluarga dalam menghadapi kehilangan ini.
7 Oktober 2026
Bagi pihak BERSAMA NIK NAZMI NIK AHMAD
Rujukan dan Sumber
Dokumen kenyataan asal — halaman 1
Dokumen kenyataan asal — halaman 2



