Kenyataan media BERSAMA bertarikh 17 Oktober 2026, ditandatangani Syukri Razab dan disiarkan melalui Facebook Rafizi Ramli. Teks kenyataan parti serta penjelasan Nik Nazmi Nik Ahmad daripada imej kedua disiarkan di bawah dengan atribusi berasingan. Tarikh 17 Oktober merujuk kepada kenyataan parti; imej penjelasan Nik Nazmi tidak memaparkan tarikh tersendiri.
Ringkasan
BERSAMA memaklumkan bahawa Nik Nazmi Nik Ahmad direhatkan daripada semua aktiviti rasmi parti selama tiga bulan, berkuat kuasa 20 Oktober 2026 hingga 19 Januari 2027. Kenyataan ditandatangani Syukri Razab dan disertakan penjelasan Nik Nazmi.
Perkara Utama
- BERSAMA memutuskan Nik Nazmi direhatkan daripada semua aktiviti rasmi parti selama tiga bulan.
- Tempoh berkuat kuasa ialah 20 Oktober 2026 hingga 19 Januari 2027.
- Kenyataan menyebut pemeliharaan integriti, kredibiliti dan keyakinan masyarakat terhadap parti.
- Penjelasan Nik Nazmi memuatkan permohonan maaf serta komitmen memberikan kerjasama kepada proses perundangan.
Kenyataan
Kenyataan Media BERSAMA — 17 Oktober 2026
Parti BERSAMA Malaysia mengambil maklum kenyataan pengakuan Saudara Nik Nazmi Nik Ahmad berhubung penglibatan beliau dalam satu kes yang tersebar baru-baru ini.
BERSAMA memandang serius perkembangan ini dan berpendirian bahawa setiap isu yang melibatkan kepimpinan serta anggota parti perlu ditangani dengan sewajarnya, demi memelihara integriti, kredibiliti dan keyakinan masyarakat terhadap parti.
Sehubungan itu, parti memutuskan untuk merehatkan Saudara Nik Nazmi Nik Ahmad daripada semua aktiviti rasmi parti selama tiga (3) bulan, berkuat kuasa mulai 20 Oktober 2026 hingga 19 Januari 2027.
BERSAMA berpendirian bahawa keputusan ini adalah perlu dan munasabah, tanpa menafikan segala sumbangan dan komitmen Saudara Nik Nazmi kepada perjuangan BERSAMA sejak parti ini dilancarkan semula pada Mei 2026.
17 Oktober 2026
Syukri Razab BERSAMA
Penjelasan Nik Nazmi Nik Ahmad
Saya ingin menjawab laporan tentang tangkapan oleh JAIS dalam kes dua individu bukan muhrim berdua-duaan di dalam tempat tertutup di Petaling Jaya pada 15 Oktober 2026.
Saya ingin mengesahkan saya adalah salah seorang daripada individu dalam insiden tersebut.
Saya tidak mahu memanjangkan isu ini, sekadar menyatakan saya bersama rakan-rakan saya memulakan perbincangan di studio kami di Brickfields, Kuala Lumpur dan kemudian memutuskan untuk meneruskannya di Petaling Jaya kerana ingin melihat beberapa bahan berkaitan dengan projek yang kami bincangkan.
Pada masa pegawai JAIS tiba, sememangnya hanya saya dan wanita tersebut yang ada. Saya mengakui itu adalah suatu kesalahan. Seperti yang saya maklumkan juga kepada Pegawai JAIS, kami sememangnya tidak melakukan apa-apa tindakan sumbang yang menimbulkan syak wasangka.
Saya ingin memohon maaf kepada isteri keluarga dan keluarga kami dan semua yang terkesan di atas kesilapan pertimbangan pada waktu kejadian yang tidak sewajarnya berlaku. Saya akan memberikan kerjasama untuk sebarang proses perundangan.
Saya juga memohon maaf kepada parti BERSAMA kerana mengecewakan ahli-ahli dan penyokong BERSAMA, memandangkan isu ini menjejaskan parti dan akan menerima apa jua keputusan parti.
Saya berharap semua pihak akan menghormati proses perundangan dan tidak memanjangkan perbicaraan menerusi media.
NIK NAZMI NIK AHMAD



