Kenyataan media Rafizi Ramli bagi pihak BERSAMA bertarikh 5 Oktober 2026. Teks penuh daripada dokumen asal dua halaman disiarkan di bawah.
Ringkasan
Rafizi Ramli, bagi pihak BERSAMA, memaklumkan penerbitan profail dan akuan berkanun pengisytiharan harta 16 calon PRN Melaka 2026, kemudahan “Jemput Calon” serta jadual kempen melalui bersama.org.
Perkara Utama
- 16 calon BERSAMA akan bertanding di 16 kerusi DUN dalam PRN Melaka 2026.
- Setiap calon diwajibkan membuat akuan berkanun pengisytiharan harta sebelum menerima watikah.
- Orang ramai boleh mengakses pengisytiharan harta dan menggunakan kemudahan “Jemput Calon” di laman bersama.org/ms/calon.
- Jadual kempen akan dikemas kini melalui laman calon.
- Rafizi menekankan pengisytiharan harta sebagai ukuran komitmen membanteras rasuah dan politik wang.
Kenyataan
BERSAMA telah pun mengumumkan 16 calon yang akan bertanding di 16 kerusi DUN dalam Pilihan Raya Negeri Melaka 2026.
Mereka terdiri dari calon pelbagai latar belakang, dengan pengalaman bekerja yang panjang dan pencapaian akademik yang kukuh.
BERSAMA menetapkan syarat setiap calon wajib membuat satu akuan berkanun mengisytiharkan harta sebelum watikah calon diberikan.
Maka, pada hari ini, orang ramai boleh melayari laman bersama.org untuk mengakses akuan berkanun pengisytiharan harta setiap calon di capaian https://bersama.org/ms/calon
Selain dari akuan berkanun pengisytiharan harta, pengundi boleh berinteraksi dengan calon untuk menjemput mereka hadir ke program atau meninjau masalah setempat, melalui mekanisme “Jemput Calon” yang diperkenalkan di laman ini.
Saya menggalakkan pengundi Melaka memanfaatkan peluang ini untuk menggunakan kuasa mereka mengarahkan calon-calon BERSAMA hadir ke rumah atau kejiranan mereka, sebagai satu budaya politik baru yang mengangkat konsep seorang ahli politik itu bekerja untuk rakyat.
Jadual kempen setiap calon akan mula dinaikkan dan dikemaskini di laman calon bersama.org, untuk memberi peluang kepada pengundi mengikuti kempen BERSAMA di Melaka dengan lebih berkesan.
Pada kesempatan ini, saya ingin menegaskan bahawa pengisytiharan harta adalah satu kayu ukur komitmen setiap parti mencegah rasuah dan politik wang.
Walaupun hanya berusia 4 bulan, calon-calon BERSAMA telah membuat pengisytiharan harta secara akuan berkanun dalam dua pilihan raya negeri.
Secara langsung, ini menjadi tamparan kepada parti-parti lain yang lebih bertapak untuk menjelaskan kenapa mereka tidak komited untuk membuat pengisytiharan harta.
Keengganan UMNO membuat pengisytiharan harta akan mengukuhkan pandangan rakyat mengenai imej parti itu yang sering dikaitkan dengan rasuah.
Keengganan PAS membuat pengisytiharan harta mengesahkan bahawa parti itu tidak serius mengenai isu rasuah, demi fleksibiliti untuk bekerjasama dengan UMNO.
Keengganan PKR, DAP dan AMANAH membuat pengisytiharan harta mendedahkan hipokrasi mereka dalam membanteras rasuah.
Sementara PH menyerang UMNO menggunakan isu rasuah, PH sendiri tidak mengambil langkah semudah membuat pengisytiharan harta untuk membina budaya anti rasuah dalam parti masing-masing.
Saya realistik bahawa kebuntuan politik terkini bermakna majoriti pengundi tidak memberi premium kepada disiplin pengisytiharan harta.
Pun begitu, usaha membanteras politik wang dan rasuah tidak boleh ditunggang bagi tujuan laba politik semata-mata. Ia mesti dibuktikan dengan keberanian dan ketelusan untuk mengisytiharkan harta.
5 Oktober 2026
Bagi pihak BERSAMA RAFIZI RAMLI
Rujukan dan Sumber
Profail calon, pengisytiharan harta dan Jemput Calon



