Kenyataan Rafizi Ramli bagi pihak BERSAMA, dikongsi melalui halaman Facebook beliau pada 18 September 2026. Teks kenyataan asal disiarkan di bawah.
Ringkasan
Rafizi Ramli, bagi pihak BERSAMA, menggesa penjelasan kerajaan dan pendedahan syarat tahanan di rumah Najib, serta menekankan amanah rakyat dan integriti dalam kenyataan bertarikh 18 September 2026.
Perkara Utama
- Rafizi menyeru agar rakyat diberi ruang menyuarakan pandangan dalam batas undang-undang.
- Beliau menggesa Anwar Ibrahim dan kepimpinan Pakatan Harapan memberi penjelasan serta mengumumkan syarat tahanan di rumah secara terperinci.
- Beliau menekankan pemantauan pematuhan syarat, pendidikan mengenai 1MDB dan usaha berterusan membudayakan integriti.
Kenyataan
Berita mengenai pengampunan bersyarat dan pelepasan tahanan di rumah yang diberikan kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak semestinya diterima berbeza-beza oleh pelbagai lapisan rakyat.
Ada yang marah, ada yang kecewa, ada yang gembira.
Saya berharap rakyat diberi ruang untuk menzahirkan pandangan mereka selagi di dalam batas undang-undang.
Saya juga berharap rakyat biasa berpada-pada dalam menzahirkan pandangan mengenai perkara ini kerana ia telah berlaku, dan ia berlaku di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.
Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan PH dari PKR, DAP dan AMANAH untuk memberi penjelasan yang sebaiknya, serta tidak mengulangi hujah yang sama iaitu perkara ini adalah di luar kawalan mereka.
Ini bukan soal politik, tetapi hutang yang Dato’ Seri Anwar dan PH ada kepada rakyat mengenai 1MDB, terutamanya individu-individu tidak bernama yang mengambil risiko besar dalam menjalankan tugas harian mereka sehingga isu 1MDB diketahui umum.
Dato’ Seri Anwar mendapat laba besar dari isu 1MDB. Selain dari ucapan di Parlimen yang ditulis oleh penulis-penulis ucapan, beliau tidak ke depan memperhalusi skandal 1MDB berbanding ramai rakyat biasa yang lain.
Di kemuncak pertembungan skandal 1MDB di antara tahun 2015 hingga 2018, beliau berada di penjara.
Tanggungjawab memperjuangkan hak rakyat bersabit 1MDB digalas oleh rakyat biasa di kalangan penjawat awam, media dan aktivis. Ramai dari mereka ini tidak bernama.
Skandal 1MDB juga meyakinkan sebahagian rakyat yang tidak pernah mengundi PH untuk memilih PH menjadi kerajaan dalam pilihan raya 2018.
Maka, adalah wajar Dato’ Seri Anwar dan kepimpinan PH menjelaskan kepada rakyat mengenai pelepasan tahanan di rumah yang diberikan kepada Dato’ Seri Najib, walaupun sekadar untuk menenangkan rakyat yang kecewa dengan keputusan ini.
Paling kurang, Dato’ Seri Anwar perlu mengumumkan syarat-syarat tahanan di rumah secara terperinci, supaya jika ada pelanggaran yang nyata; tindakan boleh diambil.
Biarlah rakyat biasa menjadi mata dan telinga masyarakat agar pelepasan tahanan di rumah ini dilaksanakan secara tegas mengikut syarat-syarat yang dikenakan.
Kepada rakyat Malaysia yang mempunyai rasa mendalam mengenai penyelewengan 1MDB dan rentetan isu akibat skandal itu, saya berharap kita sama-sama sedar bahawa tanggungjawab menjaga amanah rakyat itu adalah satu kerja berterusan yang tidak akan berhenti.
Menjadi tanggungjawab kita untuk terus mendidik golongan muda mengenai apa yang berlaku dan peri penting usaha berterusan membudayakan pentadbiran negara dengan integriti.
Kepada Dato’ Seri Najib, keluarga dan penyokong mereka, saya berharap mereka memahami bahawa luka dari skandal 1MDB ini adalah dalam bagi kebanyakan rakyat Malaysia.
Sementara saya berlapang dada dengan keputusan yang telah dibuat, sebaik-baiknya proses tahanan di rumah itu berjalan dengan senyap untuk tidak mengundang pelbagai reaksi yang lain.
Bagi pihak BERSAMA RAFIZI RAMLI



