Sumber
Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Syukri Razab bagi pihak BERSAMA
Tarikh asal
5 Okt 2026
Platform
Facebook
Tokoh
Lee Chean Chung, Rafizi Ramli, Nik Nazmi, Syukri Razab, Wong Chen

Kenyataan media bertarikh 5 Oktober 2026 oleh Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Syukri Razab bagi pihak BERSAMA, dikongsi melalui Facebook Rafizi Ramli dan Parti Bersama. Teks kenyataan asal disiarkan di bawah.

Ringkasan

BERSAMA mengalu-alukan penyertaan Lee Chean Chung sebagai pemimpin parti. Kenyataan bersama Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Syukri Razab turut menggariskan peranannya dalam kempen PRN Melaka dan kepimpinan interim BERSAMA.

Perkara Utama

  • BERSAMA mengalu-alukan penyertaan Lee Chean Chung; permohonan keahliannya akan diproses mengikut tata cara parti.
  • Beliau akan membantu mengemudi kempen PRN Melaka, dengan tumpuan membina jentera di kawasan majoriti Cina.
  • Beliau akan menyertai kepimpinan interim bersama Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Wong Chen sebelum pemilihan kepimpinan baharu yang dijangka tahun depan.

Kenyataan

Bagi pihak BERSAMA, kami mengalu-alukan penyertaan Saudara Lee Chean Chung sebagai seorang pemimpin BERSAMA.

Beliau menghantar permohonan menyertai BERSAMA pada hari ini dan permohonan itu akan diproses mengikut tata cara keahlian BERSAMA.

Saudara Lee Chean Chung mempunyai latar belakang akademik dalam bidang kejuruteraan, pengangkutan dan dasar awam. Beliau berkelulusan Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) dalam Kejuruteraan Elektronik (Komputer) dari Multimedia Universiti (MMU), sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang pengangkutan dan logistik.

Beliau kemudiannya memperoleh Ijazah Sarjana Sains dalam Pengangkutan dan Logistik dari Malaysia University of Science and Technology (MUST).

Pada tahun 2019, beliau menamatkan Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam (Master in Public Administration) di Lee Kuan Yew School of Public Policy, National University of Singapore (NUS). Beliau turut mengikuti program berkaitan tadbir urus di Peking University sebagai penerima Dong Fang Scholarship pada tahun 2020.

Beliau kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD).

Sebelum menceburi politik sepenuh masa, Chean Chung mempunyai pengalaman dalam sektor korporat dan perundingan, termasuk bersama syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat dan Hong Kong. Selepas Pilihan Raya Umum 2008, beliau meninggalkan kerjaya korporat untuk memberi tumpuan kepada penyelidikan dasar dan politik.

Antara tahun 2008 hingga 2011, beliau berkhidmat sebagai pegawai penyelidik kanan, termasuk menjalankan kerja penyelidikan bagi pihak Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang dan menguruskan kerja penyelidikan 30 Ahli-Ahli Parlimen PKR.

Chean Chung menjadi ADUN Semambu, Pahang selama dua penggal. Pada Pilihan Raya Umum ke-15, beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya.

Semasa di PKR, beliau merupakan mantan Bendahari Agung dan Pengarah Komunikasi nasional.

Penyertaan Saudara Lee Chean Chung memperkuatkan barisan kepimpinan BERSAMA tatkala parti ini giat berkembang.

Beliau akan memikul tanggungjawab bersama mengemudi kempen Pilihanraya Negeri Melaka kali ini, dengan tumpuan membina jentera kempen di kawasan-kawasan majoriti Cina.

Di samping saya, Saudara Nik Nazmi dan Saudara Wong Chen, Chean Chung akan menjadi salah seorang dari pemimpin BERSAMA parti ini semasa proses interim sebelum pemilihan kepimpinan baru parti yang dijangka akan diadakan tahun depan.

Kami mengalu-alukan penyertaan Saudara Chean Chung untuk membina sebuah wadah baru untuk generasi masa depan.

5 Oktober 2026

Bagi pihak BERSAMA

RAFIZI RAMLI

NIK NAZMI NIK AHMAD

SYUKRI RAZAB

SUMBER ASAL

Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Syukri Razab bagi pihak BERSAMA

Facebook · 5 Okt 2026

Lihat Kenyataan Asal